Barang naik: Apa khabar pengundi BN
Shukur mempunyai lebih 30 tahun
pengalaman sebagai wartawan dan bekerja dengan pelbagai media. Beliau
kini pencen tetapi menjadi pemerhati politik yang tegar.
Menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) lalu, berbulan-bulan lamanya pemimpin
Umno/BN melontarkan pelbagai janji pihan raya - yang disebut 'BN: Janji
Ditepati' di merata ceruk rantau, khususnya di kawasan luar bandar.
Selain kempen habis-habisan di televisyen dan media yang mereka miliki,
mereka juga mangadakan pelbagai majlis besar dan kecil di perkarangan
masjid, di dewan serbaguna, di mana saja dengan membawa pelbagai habuan .
Malah masuk ke rumah-rumah orang kampung memberitahu rakyat janji dan
murah hati Umno/BN kepada rakyat.
Pemimpin Umno/BN benar-benar dilihat oleh rakyat yang kurang betfikir,
sangat murah hati, maka itu merekapun, percaya janji Umno/BN ini. Tidak
menjadi rahsia lagi, bahawa pengundi luar bandar ini sangat percaya. Ini
kerana pengundi di kawasan ini, majoritinya, tidak ada ekses internet
atau media alternatif yang lain, melainkan media tradisinal dan saluran
televisyen biasa.
Antara lain, Umno/BN berjanji, harga barangan keperluan - gula, minyak
dan barangan lain akan kekal seperti yang sedia ada, tol tidak
dinaikkan, demikian juga tarif elektik akan kekal seperti sedia ada.
Di luar bandar ketika itu, Umno/BN kelihatan tidak ada masalah untuk
mendapat sokongan. Bagaimanapun BN melihat ada masalah dengan pengundi
bandar yang mempunyai akses kepada media baru. Maka itu, janji mereka
tidak mudah diterima, berbanding dengan pengundi di luar bandar. Tetapi
ada juga kelihatan sokongan kepada Umno/BN di kalanggan golongan
generasi lama di bandar.
Dalam keadaan orang luar bandar, malah sesetengah orang bandar sendiri
pun, percaya dengan janji itu, maka BN pun menang walaupun hanya
mendapat 47% undi popular.
Kini apa yang terjadi ialah 4,5 bulan selepas PRU hampir semua barangan
keperluan naik harga dan rakyat merasakan kehidupan mereka sangat
tertekan. Semua golongan rakyat, kecuali golongan elit dan super mewah,
merasakan peritnya dengan kenaikan harga barang ini.
Lebih-lebih lagi menjelang permulaan tempoh persekolahan dibuka
beberapa hari lagi di mana ibu bapa terpaksa menyediakan belanja
untukpelbagai persiapan persekolah anak.
Bagi anak muda juga sangat tertekan memikirkan hal ekonomi negara.
Saban hari mereka menghadapi harga makan minum yang mahal, harga rumah
mahal, sewa rumah mahal, harga kereta mahal, tambang bas dan teksi
mahal. Hendak belajar perlu berhutang, hendak berniaga tiada modal,
hendak bekerja peluang terhad, hatta hendak berkahwin terpaksa meminjam.
Tidak cukup dengan itu, pengumuman yang sangat merunsingkan - kenaikan
20 sen harga petrol selepas 4 bulan pilihan raya, harga gula diumum naik
34 sen selepas 5 bulan pilihanraya, tarif elektrik diumum naik 15%
selepas 6 bulan pilihan raya dan terkini dijangka tol lebuh raya pula
mahu dinaikkan, demikian juga cukai pintu di KL hendak dinaikkan.
Semua maklumat mengenai kebejatan ekonomi dan kenaikan harga barang ini
diketahui dengan cepat oleh majoriti rakyat walaupun media yang
dikuasai Umno/BN tidak melaporkannya. Ini kerana sudah ada media baru,
media alternatif – laman sesawang, tweeter, facbook, sms dan pelbagai
lagi yang menghantar maklumat cepat. Ini yang tidak disedari oleh orang
Umno/BN, kerana mereka ketinggalan zaman.
Dengan situasi ekonomi yang buruk ini, keluh anak-anak muda, ada
senarai rasionalisasi (baca: pengurangan) subsidi yang diumumkan, belum
dikira dengan yang bakal diumumkan, ditambah pula dengan peniaga yang
menaikkan harga barangan kerana kos pengangkutan akibat minyak naik.
Semuanya ini dilakukan hanya beberapa bulan selepas PRU Mei lalu.
Bagaimana dengan janji BN yang berdegar-degar menjelang pilihan raya
untuk tidak membebankan rakyat. Adakah kenaikan harga barang keperluan
ini tidak membebankan rakyat?
Bagaimana pula dengan penyong dan pengundi Umno/BN dalam PRU yang lalu.
Adakah mereka tidak terkesan dengan kenaikan harga barang sekarang?
Adakah mereka semuanya golongan elit atau super mewah yang tidak sedikit
pun terjejas dengan kenaikan harga barang ini. Apa khabar mereka
sekarang?
Adakah penyokong dan pengundi BN ini akan berkata "kenaikan harga
barang sedikit saja", sama dengan jawapan orang besar politik negara
yang bersilat lidah mempertahankan kedudukan ekonomi yang merosot
sekarang dengan alasan tidak munasabah.
Malah ada menteri yang mengeluarkan hujah dangkal, memalukan dan
memperlihatkan tidak cerdik, seperti berkata: "Kalau tak mahu kena tol,
pakai jalan alternatif (jalan lama)." Dan ada orang besar kerajaan yang
berkata, "Kurangkan makan gula, kerana gula naik harga. Jangan guna
kereta, kerana minyak naik harga." Dan banyak lagi kata-kata yang
menggambarlan rendahnya cara berfikir mereka.
Malangnya, inilah dia para pemimpin BN yang menang dalam PRU lalu,
sementara ada yang menjadi menteri melalui kedudukan sebagai senator
bukan melalui pilihan rakyat.
Sepatutnya kerajaan dan para menteri yang lebih dulu berjimat, namun
sekarang ini rakyat lebih dulu merasakan kesannya dengan kenaikan harga
barang. Sementara itu, dalam kegawatan akibat kenaikan harga ini, timbul
pula masalah Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) yang dijangka
menambah beban rakyat. Menurut pemimpin Pakkatan Rakyat, cukai GST yang
akan dilaksanakan pada April 2015 jelas bersifat zalim dan tidak adil
menurut konsep Islam.
Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, berkata GST ternyata
bercanggah dengan konsep adil dalam Islam kerana mengenakan cukai kepada
semua orang tanpa mengira kaya atau miskin.
Perlu difahami, katanya, konsep adil mengikut Islam (adalah) bukan
semua orang kena. Konsep adil mengikut Islam (adalah) mereka yang mampu
mengikut kemampuan masing-masing.
"GST ini, yang beli gula satu lori, yang beli gula satu kilogram, semua
kena bayar cukai. Ini satu konsep yang salah," katanya sewaktu berucap
di majlis pelancaran Kempen Faham GST, Tolak GST di Kelab Sultan
Sulaiman, Kampung Baru, baru-baru ini.
Beliau berkata,kerajaan juga wajib menetapkan harga tidak membebankan
rakyat jika berlaku cukai melibatkan kenaikan harga barang keperluan
asas yang diguna oleh semua golongan masyarakat.
Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat meminta perdana menteri mengadakan
sidang khas Parlimen untuk membahaskan masalah yang berkait dengan
rakyat tanpa mengira kerajaan dan pembangkang. Biar ahli-ahli Parlimen
bebas memberi pandangan mereka.
Turut berucap malam itu ialah Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim;
Penasihat DAP, Lim Kit Siang; Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali; Ahli
Jawatankuasa PAS Pusat, Dr Dzulkefly Ahmad serta wakil-wakil NGO dan
aktivis yang menentang pelaksanaan GST.
Dalam keadaan ekonomi yang gawat diakibatkan oleh perbuatan rasuah,
ketirisan dan sebagainya, serta ketika terserlah janji BN tidak
ditepati, kita wajar bertanya kembali kepada mereka yang mengundi BN
dalam PRU yang lalu, "Apa khabar dengan kenaikan harga barang ini.
Setuju juga?" - 24 Disember, 2013.
* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.